Sunday, 30 October 2011

PENGAJARAN PEMULIHAN


TUJUAN
Mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripadasebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedialeducation’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khaskepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan dalam mata pelajaran tertentu.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan ataupengajaran biasa. Dan Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatihkhas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecildaripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepatikehendak ‘ menjadikan pulih ‘.

Kemahiran Lisan
Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan aspek asas yang paling penting dalam kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana murid-murid yang menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dengan baik biasanya berpotensi cenderung menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan lebih baik. Kemahiran mendengar yang baik membolehkan seseorang memperoleh dan memproses maklumat dengan tepat. Demikian juga seseorang yang mempunyai kemahiran bertutur yang baik membolehkan seseorang menyampaikan perasaan dan fikirannya dengan berkesan. Ini bermakna seseorang pendengar dan penutur yang baik lebih berpotensi menguasasi kemahiran membaca dan menulis dengan baik kerana keupayaan mendengar dan bertutur dengan baik akan membantu mereka  dalam proses membaca dan menulis.
Bagi murid-murid pemulihan mereka mengalami masalah dalam kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini menyebabkan mereka sukar menguasai kemahiran-kemahiran lain. Murid-murid tidak dapat menguasai kemahiran mendengar  kerana terdapat gangguan-gangguan disebabkan kelemahan daya ingatan dan pendengaran. Proses ini disebut sebagai “bahasa penerimaan”. Dalam sesuatu pembelajaran biasa murid-murid akan dapat mengikut arahan, mengingat kembali fakta,perkataan, ayat dan rangkai kata, mampu menganalisis percakapan orang lain, menilai dan bertindak terhadap bunyi-bunyi secara berkesan. Sekiranya murid-murid itu menghadapi masalah pendengaran, maka hasrat guru untuk mencapai objektif- objektif di atas tidak mungkin akan tercapai.
Kemahiran bertutur merupakan proses komunikasi yang amat kompleks. Semasa bertutur, seseorang itu akan menghasilkan bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosodi (intonasi, tekanan sebutan dan jeda) dan para linguistik (bagi bahasa isyarat dan
pergerakan badan). Selain menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna, proses bertutur juga melibatkan proses mental iaitu memahami, menaakul, memadan, menyesuaikan dan memberi gerak balas tertentu mengikut situasi sesuatu komunikasi. Penutur yang baik akan mengkoordinasi keupayaan mendengar dan memperoleh maklumat bagi tujuan menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosidi dan melaksanakan proses mental.
            Proses menghasilkan bunyi-bunyi ujaran disebut sebagai “bahasa penglahiran”. Gangguan proses tersebut disebut sebagai dysnomia iaitu merujuk kepada kesukaran untuk mengingati dan menyebut perkataan, nama-nama objek, dan istilah. Murid-murid yang mempunyai masalah dalam pertuturan kurang mampu mencari perkataan untuk digunakan dalam pertuturan dan mereka berasa sukar untuk menyebut dan membunyikan perkataan-perkataan tertentu. Masalah bertutur mempunyai banyak sebab antaranya adalah mengalami masalah pada bahagian-bahagian artikulator, masalah suara, gangguan bahasa ibunda, masalah kefasihan yang melibatkan rentak dan gaya.
 Kemahiran membaca
 Membaca adalah sebahagian daripada proses perhubungan. Membaca juga melibatkan satu aktiviti yang melibatkan pembelajaran memindahkan tulisan kepada suara. Seseorang murid yang dapat menyuarakan tulisan dengan lancar dianggap pandai membaca. Kadang kala terdapat murid-murid yang boleh membaca tetapi tidak memahami apa yang dibacanya. Ini mungkin disebabkan mereka tidak memberikan tumpuan, tidak aktif membaca, tidak faham makna sesuatu perkataan dan sebagainya.
  Masalah membaca sering berlaku kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran. Masalah ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu masalah dalam mengenal huruf dan masalah untuk memahami apa yang dibacanya. Membaca adalah proses kognitif dan melibatkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran melihat, mengingat, mendengar , membezakan bunyi-bunyi,  menyebut bunyi-bunyi yang dilambangkan huruf-huruf, dan menggabungkan bunyi-bunyi huruf untuk membentuk suku kata, perkataan, frasa, ayat dan sebagainya.

            Kelemahan murid membaca dan memahami apa yang dibaca merupakan satu masalah yang sangat besar kepada guru-guru dan murid-murid sekolah sendiri kerana terpaksa mengalami kesulitan-kesulitan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa sebab brlakunya masalah kelemahan membaca dalam kalangan murid-murid antaranya adalah tersekat pengalaman dari segi fizikal, emosi, intelek dan linguistik, kecacatan  fizikal dan emosi, kelemahan daya ingatan, gangguan-gangguan pengamatan yang berkaitan bentuk, ketetapan bentuk, rajah bertindih, arah dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kelemahan membaca iaitu kurang zat makanan, gangguan kesihatan, sakit terlalu lama, kurang tidur dan rehat, kurang alat atau ruang untuk bermain, terlalu dimanjakan oleh keluarga, tekanan hidup dan lain-lain. Murid-murid pemulihan juga keliru pada huruf yang hampir sama:  b – d , m, w, keliru pada huruf-huruf besar dan kecil yang berubah:  a – A, b – B, masalah disleksia: [kail] – [kali], [dada]  dibaca [baba]. Seterusnya, tidak dapat membatangkan suku kata tertutup, tidak dapat membatangkan perkataan yang mengandungi lebih daripada dua suku kata, membaca secara berlagu, lemah ingatan penglihatan, tidak faham bahan yang dibaca, sukar membuat hubung kait dan tidak dapat membuat urutan.


            Kemahiran membaca dan memahami adalah kemahiran yang saling melengkapi. Walau bagaimanapun, kemahiran membaca mesti diajar mengikut peringkat-peringkatnya supaya penguasaannya memperlihatkan satu perkembangan yang meningkat. Semuanya harus
bermula daripada yang mudah kepada yang sukar. Akhirnya murid-murid dapat menguasai  kemahiran membaca senyap dan memahami apa yang dibaca. Dalam konteks ini bahan bacaan perlu dipelbagaikan dan diajar dengan menggunakan strategi, kaedah, pendekatan dan teknik yang sesuai dan berkesan bagi mencapai hasil pembelajaran kemahiran membaca. Guru hendaklah membimbing kanak-kanak menguasai pelbagai kemahiran lain yang akan membantu mereka mencapai kemahiran membaca dengan lebih mudah.
        Kemahiran Menulis
            Tulisan adalah bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi. Seseorang individu akan menikmati hasil buah fikiran dan perasaan orang lain melalui butiran dalam tulisannya. Menulis pula adalah proses memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-bunyi yang bermakna. Oleh kerana aktiviti menulismelibatkan kemahiran mekanis maka ia tidak boleh dianggap mudah tetapi  perlu juga dipelajari oleh murid-murid sejak kecil lagi. Dalam pengajaran dan pembelaaran di sekolah masalah menulis sering berlaku di kalangan murid-murid terutama kepada mereka yang tidak berkesempatan membina asas menulis yang kukuh.
            Murid-murid yang mempunyai masalah dalam kemahiran menulis sering membuat kesalahan dalam melakukan aktiviti-aktiviti latihan yang melibatkan tulisan. Antara contoh kesalahan adalah perkataan-perkataan ditulis terlalu rapat diantara satu sama lain, huruf ditulis secara condong ke kiri ataupun ke kanan, bentuk-bentuk huruf tidak jelas dan betul. Selain itu, huruf besar dan kecil juga bercampur aduk, salah ejaan kosa kata yang terhad, aliran pemikiran yang tidak lancar, lupa format penulisan, lemah dalam penyampaian idea ayat yang tidak gramatis dan lemah dalam penggunaan tanda baca.
            Terdapat beberapa faktor mengapa murid-murid tersebut mengalami masalah penguasaan tulisan. Di antaranya ialah individu atau murid itu  mengalami kerosakan ringan di bahagian otak, mengalami gangguan atau kecacatan penglihatan, mengalami masalah pengamatan penglihatan dan pendengaran. Murid-murid juga mengalami masalah yang berpunca daripada gangguan emosi, kesukaran untuk menentukan domain tangan atau tangan kidal dan murid tersebut mengalami penyakit menggeletar pada tangan kerana kekurangan vitamin atau gangguan saraf. 

KAEDAH GABUNGJALIN

Kaedah Gabung Jalin, iaitu kaedah pengajaran yang diutarakan oleh H.G Widdowson, dibentuk berdasarkan teori pengajaran pendekatan komunikatif. Prinsip pengajaran Kaedah Gabung Jalin menekankan fungsi bahasa sebagaimana yang benar-benar berlaku dalam komunikasi bahasa.

Perkara-perkara yang digabungjalinkan dalam pengajaran ialah kemahiran bahasa yang betul-betul terlibat dalam komunikasi. Misalnya, kemahiran mendengar dan bertutur, berlaku dalam temu duga, dialog, wawancara, mesyuarat, perbincangan dan sebagainya.

Begitu juga dengan kemahiran mendengar dan menulis, misalnya, apabila kita mendengar syarahan dan menulis nota (tentang syarahan yang didengar). Kemahiran membaca dan menulis, biasanya kita gabungkan apabila kita membaca buku teks dan mencatat nota daripada bacaan tersebut.

Dalam menggunakan kaedah gabung jalin ini, guru hendaklah pandai memilih dan menggabungjalinkan aktiviti-aktiviti bahasa yang realistik dan benar-benar menggambarkan situasi penggabungan kemahiran dalam komunikasi. Kini konsep penggabungjalinan telah diaplikasikan oleh guru dengan cara yang lebih kreatif.



  Penggabungjalinan
Proses penyampaian beberapa kemahiran
 Kecekapan melaksanakan aktiviti – membaca, menulis, menghurai, mengira,mewarna, menyanyi, melukis, melabel, mengarang, becerita, berlakon dsb.
 Mendengar, lisan, membaca dan menulis secara bersepadu
 Kemahiran matematik digabungjalinkan dengan kemahiran bahasa


Ciri-ciri gabungjalin

Ø  Integrasi beberapa kemahiran
Ø  Prosesnya bersepadu dan menyeluruh
Ø  Aktiviti dipelbagaikan dengan menarik
Ø  Kemahiran utama menjadi fokus
Ø  Organisasi kemahiran fleksibel
Ø  Kemahiran diintegrasikan saling kukuh mengukuh antara satu sama lain.
Ø  Strategi penggabungjalinan kemahiran hendaklah dirancangkan berdasarkan objektif pelajaran, kebolehan & pencapaian murid.
Ø  Kemahiran-kemahiran diintegrasikan dalam urutan yang sesuai. Setiap kemahiran hendaklah dikaitkan dengan kemahiran yang berikutnya secara logikal.